2012年9月23日星期日

Sekolah Peng Min Simpang Kuala










SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini diasaskan pada tahun 1938 dan kini telah berumur 73 Tahun. Pada awal  pembinaanya,ia dibina di Simpang Kuala berdekatan sebuah tokong Cina iaitu Kong Hock Kong. Pengasas  sekolah ini ialah Encik Khoo Boon Teik yang juga guru besar pertama. Mendiang Encik Khoo Boon Tiek dengan menggunakan tenaga kerja yang terhad dan usaha gigih telah mengasaskan sekolah ini sungguhpun jumlah murid pada masa itu hanya 11 orang sahaja. Namun usahanya tergendala apabila Perang Dunia Kedua meletus. Selepas Perang Dunia Kedua, semangat kaum cina yang ingin mendirikan sekolah cina telah dipertingkatkan. Sekolah Peng Min telah didirikan semula dengan usaha segolongan penduduk tempatan yang mecintakan pendidikan bahasa Cina seperti Pengerusi Lembaga Pengelola En. Oh Boon She, Naib Pengerusi En. Lim Bai Yuan, Setiausaha En.Tan Kok Eng, Bendahari En. Ong Peng Siak telah membentuk Lembaga Pengelola Sekolah Peng Min yang pertama.
Bilangan murid telah bertambah kira-kira 100 orang yang boleh dikategorikan sebagai sebuah sekolah yang agak besar pada masa itu. Malah bilangan pelajar yang kian meningkat dan bangunan sekolah yang ditempatkan di Simpang Kuala sudah  tidak berupaya menampung keperluan pada masa itu. Selepas beberapa kali memohon dan merayu kepada pihak kerajaan untuk mendapat sebidang tanah bagi membina bangunan sekolah yang baru, maka pada tahun 1974, kerajaan telah memberikan sebidang tanah seluas 6.5 ekar di Bee Bee Park untuk dibina bangunan sekolah yang baru. Sebuah bangunan sekolah 3 tingkat yang merangkumi 8 bilik kelas,perpustakaan,bilik guru,pejabat sekolah,bilik sumber dan bilik setor telah dibina.
Bangunan sekolah yang baru mula dibina pada 16-04-1977 tetapi terpaksa diberhentikan pembinaanya selama 2 tahun disebabkan masalah kontraktor. Sungguhpun begitu,akhirnya pada tahun 1981, bangunan baru telah siap dibina dan semua kakitangan, guru dan murid sekolah ini telah pindah ke bangunan ini.
Sungguhpun Sekolah Peng Min telah memasuki satu era baru,bangunan yang hanya mempunyai 8 buah bilik kelas hanya berupaya memenuhi keperluan sementara sahaja. Pembangunan Pekan Alor Setar yang pesat telah memberi tekanan yang besar terhadap sekolah kerana keperluan pertumbuhan bilangan pelajar yang besar. Oleh kerana situasi yang mendesak itu,Lembaga Pengelola Sekolah telah merayu kepada pihak kerajaan agar dapat memberi sebidang tanah lagi untuk menampung keperluan masa kini tetapi rayuan tidak mendapat apa-apa jawapan.
Sekolah Peng Min terpaksa menampung keperluan penduduk tempatan yang menghantar anak mereka mengaji di sekolah ini. Bilangan pelajar yang mencecah 1000 orang adalah sebuah sekolah Gred A. Oleh sebab kekurangan bilik kelas,maka pelajar terpaksa dibahagikan kepada sesi pagi dan sesi petang. Malah kekurangan modal juga menyebabkan kekurangan dari segi kemudahan. Keadaan ini telah menjadi penghalang kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Pada 4 Jun 1993, sekolah ini telah mendapat sokongan dan bantuan daripada Nanyang Siang Pao dan Syarikat Carlsberg berjaya mengumpul kutipan sebanyak 300 ribu ringgit melalui “Konsert Sumbangsih 10 Penyanyi Pilihan Malaysia”.
Bangunan sekolah yang baru dan bangunan pentadbiran yang sekian lama menjadi impian telah menjadi kenyataan. Satu blok bangunan sekolah yang merangkumi 6 buah bilik kelas telah mula dibina pada bulan oktober 1993 dan disiapkan pada bulan Mac 1994. Satu blok yang mengandungi 8 buah bilik kelas juga telah dibina pada tahun 1994.
Pada tahun 2000, kantin sekolah  telah diperluaskan dan tembok pagar mengelilingi sekolah dibina pada tahun 2001 demi keselamatan pelajar. Padang sekolah yang sentiasa menakung air telah ditambun pada bulan Febuari 2003 hasil peruntukan Y.B Dato’ Chor Chee Heung. Pada bulan Oktober 2003, suatu program jualan amal telah diadakan oleh pihak Lembaga Pengelola Sekolah dengan bantuan PIBG sekolah serta Persatuan Murid-murid Tua. Hasil kutipan telah digunakan untuk membina sebatang jalan dalam kawasan sekolah bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kerana pertambahan murid yang pesat.
Di samping itu, koridor yang berbumbung telah dibina di hadapan dewan sekolah dan dihadapan kantin serta sepanjang jalan ke pintu pagar sekolah. Semua ini dibuat untuk kemudahan para pelajar dan waris yang datang menunggu anak mereka.  Pada bulan Disember 2003,sebuah bilik di blok D,telah diubahsuai menjadi kelas Prasekolah dan kelas mula dilaksanakan pada bulan Januari 2004.Pada bulan September 2004,bangunan makmal ICT telah siap dibina dan dilengkapi dengan 40 buah komputer serta alat-alat yang canggih. Kini bilangan pelajar telah meningkat kepada 1145 orang dan Sekolah Peng Min merupakan salah sebuah sekolah Gred A yang besar dalam daerah Kota Setar.
Pada tahun 2007,sebuah pusat akses telah diadakan di pusat sumber sekolah untuk memudahkan para guru dan murid memperolehi maklumat dari internet. Di dalam pusat akses itu dibekalkan dengan 10 buah komputer dan sebuah pencetak.
            Pada bulan Oktober 2007, permohonan bangunan tambahan untuk menampung keperluan pihak sekolah telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia . Kerja-kerja pembinaan giat dijalankan dan sebuah bangunan 4 tingkat telah siap dibina dan diserah kepada sekolah pada bulan Mac 2009. Maka setelah sekian lama  persekolahan dua sesi diadakan, impian sekolah untuk mengadakan persekolahan sesi pagi sahaja akhirnya tercapai. Pada bulan Oktober 2009, pihak Lembaga Pengelola Sekolah telah mengubahsuai dewan terbuka kepada dewan tetutup. 10 orang ahli Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Murid-Murid Tua telah menderma pendingin hawa untuk mendinginhawakan dewan baru.
Pada tahun 2009 juga pihak PIBG sekolah telah mendinginhawakan pejabat sekolah,bilik guru,pusat sumber sekolah dan pusat akses sekolah.Kelengkapan dan kemudahan tersebut telah menjadikan suasana kerja dan pembelajaran lebih kondusif. 
 
            Pada bulan Oktober 2010, pihak sekolah telah  mendapat peruntukan daripada Y.B Dato’ Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan sebanyak RM10,000.00 dan Y.B Dato’ Wira Chor Chee Heung, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan untuk menaiktaraf gelanggang bola keranjang dan mendirikan 2 buah gelanggang badminton. Kawasan   sekolah yang luas dan indah, bangunan sekolah dan kemudahan-kemudahan yang lengkap telah membolehkan sekolah Peng Min menuju ke arah sekolah bestari.

没有评论:

发表评论